Friday 7 February 2014

Tajuk 10 : Pelajar FYP adalah Ultraman Penyelamat Dunia!

Dalam laporan FYP korang biasanya akan ada tajuk kecik yang diberi nama "Penyataan Masalah" dalam Bab 1.

Di dalam tajuk ni, korang perlu menyatakan sebab-sebab atau masalah-masalah yang dihadapi di dalam situasi atau keadaan sedia ada sehingga mewujudkan keperluan untuk melaksanakan projek yang akan korang cadangkan.

Macam selalu saya sebut.. korang kena tahu "siapa/apa raksaksa yang akan memusnahkan bandar tokyo, baru korang jadi ultraman yang akan jadi hero menyelamatkan penduduk bumi.." Bila dah tahu raksaksa apa yang menyerang, baru korang boleh "menghapuskan" raksaksa dengan mudah.. bila dah tahu apa masalah yang berlaku.. baru korang boleh "menyelesaikan" masalah dengan mudah..

Masalah-masalah yang berlaku kenalah memang betul-betul berlaku dan dapat dibuktikan berlaku.. bukan hanya melalui andaian ataupun jangkaan korang je... itu namanya "masalah syok sendiri".. buat projek, biarlah yang menyelesaikan masalah, projek yang tak menyelesaikan masalah adalah projek yang SIA-SIA..

Ok, bila dah tahu apa masalah sebenar.. tulislah ayat dalam penyataan masalah ni dengan ayat yang betul-betul menggambarkan ada masalah berlaku.. janganlah tulis macam takde apa-apa yang berlaku.. baca pun terasa tawarr je..

MALAS pun MASALAH jugak..! (Pic from duniafitnes.com)


Katakanlah korang nak buat video bertajuk "Buli" yang memaparkan isu gejala buli di sekolah.. gejala buli ni memanglah masalah.. tetapi.. kenalah cerita.. kenapa buli ni jadi masalah... korang kena tulis ayat yang menunjukkan "MEMANG ADA MASALAH".. yang sedang berlaku.. kita tengok contoh..


Projek Student Multimedia, (Video "Buli")

Contoh Penyataan yang Lemah:

“Gejala buli semakin menular ke sekolah rendah (apa masalahnya..?). Pihak bertanggungjawab seperti guru, ibubapa, dan masyarakat sepatutnya bekerjasama dalam membendung gejala ini daripada menular (apa masalah yang nak kena bendung..?). Tayangan filem-filem yang mempunyai unsur-unsur ganas menjadi sumber perlakuan pelajar-pelajar kepada rakan sebaya (macamana filem-filem ni mempengaruhi..?). Filem-filem yang memaparkan keganasan tanpa disedari masyarakat boleh memberi kesan jangka panjang yang amat buruk... (apa kesan jangka panjang yang akan jadi masalah..?)...”


Contoh Penyataan yang Baik:

“Gejala buli yang telah merebak sehingga ke peringkat sekolah rendah menyebabkan kanak-kanak kehilangan motivasi untuk hadir ke sekolah kerana bimbang dibuli. Gejala buli yang tidak dapat dibendung oleh pihak yang bertanggungjawab seperti guru, ibubapa, dan masyarakat akan mengakibatkan kemerosotan kehadiran pelajar ke sekolah. Tayangan filem-filem berunsur keganasan yang semakin kerap di kaca televisyen menghakis ajaran baik ibubapa di rumah apabila berkomunikasi sesama rakan-rakan sebaya. Filem-filem yang memaparkan keganasan juga, tanpa disedari telah menghilangkan budaya sopan santun kanak-kanak dan berkekalan sehingga dewasa...”

Lihat bagaimana ayat-ayat yang digariskan menunjukkan AYAT MASALAH yang jelas menggambarkan dilema masalah yang sedang dihadapi... barulah terasa PERLU DAN PENTING untuk korang hasilkan VIDEO "BULI" korang yang akan menyedarkan masyarakat tentang pentingnya masalah ni ditangani.


Saya bagi contoh Projek Networking/Programming pulak, (Tong Sampah "Auto-Alert")

Contoh Penyataan yang Lemah:

"Seringkali kedengaran kontraktor pemungut sampah gagal mengambil sampah yang penuh di dalam tong sampah di taman-taman perumahan (kenapa gagal..?). Penduduk-penduduk taman perumahan merungut tidak berpuashati dengan perkhidmatan yang sepatutnya dilaksanakan (apa masalah bila tak laksana kerja..?). Sampah yang banyak menimbulkan bau busuk yang tidak menyenangkan (ok.. lagi..?). Keadaan ini menyebabkan penduduk terpaksa menghubungi majlis daerah berkali-kali sehinggalah sampah mereka diambil (apa masalahnya call berkali-kali..?)..."


Contoh Penyataan yang Baik:

 "Seringkali kedengaran kontraktor pemungut sampah tidak mengikut jadual dan terlewat mengambil sampah yang penuh di dalam tong sampah di taman-taman perumahan. Penduduk-penduduk taman perumahan merungut tidak berpuashati dengan perkhidmatan yang kurang efisien dan lambat bertindak. Sampah yang banyak menimbulkan bau busuk yang tidak menyenangkan dan menyebabkan kehadiran makhluk perosak seperti tikus dan lipas yang membawa penyakit. Keadaan ini menyebabkan penduduk terpaksa membuang masa untuk menghubungi majlis daerah berkali-kali sehinggalah sampah mereka diambil..."

Lihat sekali lagi, bagaimana ayat-ayat yang digariskan menunjukkan AYAT MASALAH yang jelas menggambarkan dilema masalah yang sedang dihadapi... jelas terasa PERLU DAN PENTING untuk korang menghasilkan TONG SAMPAH AUTO-ALERT yang akan menghantar mesej "sampah penuh" terus kepada Majlis Daerah agar mudah dipantau, dan kerja pengutipan dapat dijalankan dengan efisien.

So, lepas ni, tulis penyataan masalah, biar "ada masalah".. barulah projek korang nampak macam ultraman yang jadi "HERO"..

~PENYATAAN MASALAH KENA "ADA MASALAH"~