Sunday 11 January 2015

Tajuk 19 : Bagaimana Menulis Penyataan Masalah? (Penjelasan Terkini & Lebih Mudah!)

Saya pasti inilah sub-topik yang paling bermasalah untuk ditulis oleh pelajar, kerana namanya pun "penyataan masalah".

Tapi, anda jangan rasa susah hati, kerana ini bukan masalah anda sahaja. Mereka yang belajar di peringkat Master dan Phd juga berhadapan masalah yang sama. Ini disebabkan tafsiran yang berbeza mengikut konteks pemahaman masing-masing.

Baiklah, untuk memudahkan anda memahami apakah yang dimaksudkan penyataan masalah, saya cuba terangkan semudah yang mungkin, supaya anda dapat menulis penyataan masalah masing-masing dengan tepat.

Contoh;

Saya ingin membuat projek "Home Smart CCTV". Namanya nampak canggih tetapi apakah sebenarnya ciri-ciri dan fungsi yang ada pada "Home Smart CCTV" ini?. Untuk menerangkan ciri-ciri dan fungsi "Home Smart CCTV", saya perlu ceritakan di bawah sub-topik "sinopsis projek" (saya tak perinci disini kerana artikel ini tentang penyataan masalah).

Baik, sebelum menceritakan penyataan masalah, adalah lebih baik anda menulis dulu "latar belakang projek" ini supaya pembaca akan jelas tentang masalah yang sebenar. "latar belakang projek" akan menceritakan tentang keadaan sedia ada/masa kini yang berlaku SEBELUM projek anda dilaksanakan.

Contoh;

LATAR BELAKANG PROJEK
-------------------------------------------
Pada masa kini, kejadian seperti pecah rumah, rompakan bersenjata, kecurian, sering berlaku di kawasan perumahan. Kebanyakan penghuni akan keluar bekerja pada waktu pagi hinggalah petang dan meninggalkan rumah dalam keadaan kosong. Ini mengundang kepada kejadian jenayah seperti pecah rumah terutamanya di kawasan-kawasan yang sunyi dan jauh dari tumpuan orang ramai.

CCTV telah digunakan oleh pemilik rumah yang peka dengan keselamatan rumah mereka untuk memantau sebarang kejadian jenayah yang berlaku untuk memudahkan siasatan pihak polis. Namun begitu, kebanyakan CCTV yang dipasang menyimpan video yang dirakam di dalam PC yang terletak di dalam rumah itu sendiri. Penjenayah yang semakin bijak boleh memadam rakaman tersebut sebelum dapat dilihat oleh pemilik rumah (perhatikan ayat ini, ini adalah masalah kepada pemilik rumah, tetapi bukan masalah kita). Oleh itu, CCTV yang mempunyai tempat simpanan video rakaman yang lebih selamat perlu direkacipta untuk mengelakkan kejadian tersebut berlaku (ini adalah objektif projek anda).

-------------------------------------------

Penerangan;

Anda telah menjelaskan keadaan SEBELUM projek anda dilaksanakan. Pembaca mula nampak apa yang anda ingin lakukan. Tetapi apa masalah yang sebenarnya? Rujuk semula perenggan di atas, masalah tempat simpanan rakaman video yang tidak selamat adalah masalah pemilik rumah. Tetapi apa sebenarnya masalah anda? Maka, di bahagian "penyataan masalah" anda perlu menulis tentang masalah yang MEMERLUKAN ANDA sebagai penyelesai masalah.

PENYATAAN MASALAH
------------------------------------
CCTV memerlukan tempat penyimpanan rakaman video yang selamat daripada tindakan memadam bukti yang dilakukan oleh penjenayah. Simpanan yang dibuat hanya ke dalam PC di rumah amat terdedah kepada tindakan ini. Rakaman video perlu disimpan di tempat yang tidak boleh dicapai oleh penjenayah seperti cloud storage yang disimpan di tempat lain. Namun begitu, setakat ini, masih kurang CCTV yang berkemampuan untuk membuat simpanan di dalam cloud storage (ini ayat masalah, dan inilah masalah anda yang sebenarnya! anda kena selesaikan masalah ini). Oleh itu, projek "Home Smart CCTV" yang mempunyai ciri-ciri simpanan rakaman ke cloud storage ini perlu dilaksanakan untuk menyelesaikan dilema tersebut dan memberi pilihan kepada pemilik rumah untuk mendapatkan solusi yang terbaik kepada masalah mereka.

-------------------------------------

Penerangan;

Ok, nampak tak sekarang, apa bezanya masalah orang ramai, dengan masalah yang perlu anda letakkan sebagai "penyataan masalah".

Sebagai ringkasan, biar saya mudahkan begini,

LATAR BELAKANG PROJEK.
Anda akan menceritakan tentang keadaan/masalah/kelemahan sedia ada yang menjadi masalah kepada orang lain.

PENYATAAN MASALAH
Anda akan menceritakan masalah yang perlu anda selesaikan dalam bidang kemahiran anda sebagai pelajar FYP untuk menyelesaikan masalah orang lain tadi.

Dua-duanya masalah, tetapi berbeza. Harap anda mendapat manfaat daripada artikel ini.

Jika anda rasa baik untuk pemahaman rakan-rakan, kenapa tidak kongsikan dalam status facebook anda. Hanya tekan butang Share!

Selamat Maju Jaya.

5 comments: